Pages

Khamis, 24 Julai 2014

Sebab Mempelajari Bahasa Russia

 
Jadi, setiap orang itu pastilah mempunyai motif mereka sendiri. Aku bukan membuat keputusan untuk belajar bahasa Russia ini hanya bagi mengisi masa lapang. Jadi, berikut adalah antara sebab yang menyebabkan aku tergerak untuk mempelajari bahasa Russia...
  • Aku ingin mengetahui pandangan hidup orang Russia dan mendengar berita dari perspektif mereka kerana aku sudah bosan dengan tumpuan hanya diberikan kepada Barat dan China. Amerika Syarikat dan Britain pun ok sahaja namun aku rasa lebih baik aku membuka fikiran aku kepada banyak lagi perkara yang melampaui kedua-dua negara ini.
  • Bahasa Russia tidak banyak dipelajari di negara aku kerana penduduk di sini lebih memberi tumpuan kepada bahasa Inggeris yang menjadi bekas penjajah di kebanyakan negeri di Malaysia atau mungkin condong mempelajari bahasa Cina kerana berasa bahawa China adalah kuasa besar dunia. Aku tak mahu mempelajari perkara yang sudah banyak dipelajari orang di negaraku ini.
  • Aku telah nyatakan dalam beberapa masukan bahawa bahasa Russia mempunyai ruang lingkup penutur yang luas sekali. Melalui bahasa Russia, kita boleh mempelajari bahasa dan kebudayaan lain yang berada dalam pengaruh Russia seperti bahasa Uzbek, bahasa Kazakh, bahasa Parsi dan bahasa Slav yang lain di Eropah Timur serta Eropah Tengah. Hal ini kita tidak dapat lakukan hanya dengan bahasa Inggeris.
  • Aku ingin menjelajahi kebudayaan Slavic dan ilmu mereka menerusi salah satu cabang bahasanya iaitu bahasa Russia.
  • Bahasa Russia adalah salah satu daripada enam bahasa utama UN dan Russia sendiri merupakan negara yang mempunyai kuasa veto dalam UN sama seperti Amerika Syarikat dan China. Dunia sekarang dipenuhi dengan peperangan dan persaingan dari segenap penjuru jadi aku berasa bahawa kita perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan. 
Aku rasa itu sahajalah sedikit daripada motivasiku ingin sekurang-kurangnya tahu berbahasa Russia jika tidak fasih pun. Bagaimana pula dengan kamu? Adakah kamu berminat mempelajari bahasa Russia? Kongsilah dengan aku jika berkesempatan, ya. Selamat maju jaya semua!